PARIS: Sarawak dan Perancis mewujudkan kerjasama strategik serta kewangan bagi memperluaskan penggunaan teknologi pengurusan sisa makanan WASTENOT ke pasaran utama.
Kerjasama strategik itu dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) antara syarikat dari Sarawak, Wireco Sdn. Bhd. dan Blumorpho dari Perancis pada Selasa.
Pemeteraian MoU disaksikan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan semasa lawatan kerja rasmi beliau ke Paris.
Kerjasama ini akan memacu pembangunan model kerjasama kewangan, penglibatan dengan pihak industri dan institusi, serta meneroka sokongan dari Perancis, Eropah dan antarabangsa dalam menyokong teknologi lestari dan peralihan kepada ekonomi kitaran.
Selain itu, ia turut membuka akses kepada pasaran kredit karbon.
Dalam pada itu, Awang Tengah turut diberi taklimat oleh Kaunselor Ekonomi merangkap Pesuruhjaya Perdagangan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Paris, Zuhaila Sedek mengenai peluang perdagangan dan pelaburan di Perancis.
Taklimat itu menekankan potensi Perancis sebagai pintu masuk ke pasaran Eropah dan peluang besar yang boleh dimanfaatkan oleh Malaysia, termasuk Sarawak.
MATRADE Paris juga terus memainkan peranan penting dalam membantu syarikat Malaysia, termasuk pengusaha kraf dari Sarawak untuk menembusi pasaran Eropah.
Delegasi Sarawak turut disertai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED), Datuk Dr. Malcolm Mussen Lamoh; Penasihat MINTRED, Dato Sri Mohd. Naroden Majais serta Setiausaha Tetap MINTRED, Dzulkornain Masron.